Setiap sumbangan yang anda hulurkan mampu meringankan beban para pesakit kronik

Share:

Kaca mata hitam adalah alat pelindung mata yang digunakan secara meluas oleh ramai orang untuk mengelakkan cahaya yang kuat dari memasuki mata. Kaca mata hitam juga merupakan alat bantuan visual yang menggabungkan kanta berwarna, polarisasi, penghalang sinar (ultraviolet-UV)) dan silau. Selain fungsinya yang memberi perlindungan, kaca mata hitam terkenal sebagai satu fesyen dan menjadikan si pemakai nampak lebih bergaya.

Pada waktu siang terutama antara lewat pagi sehingga petang, cahaya matahari menjadi sangat terang dan ketara. Ini menyebabkan mata berasa tidak selesa. Individu terdedah kepada lebih cahaya semasa melakukan aktiviti luar seperti berenang, memancing atau berkebun berbanding aktiviti di dalam bangunan. Sebagai langkah pencegahan terhadap cahaya matahari yang keterlaluan, kaca mata hitam disyorkan untuk melindungi mata dari sinaran ultraungu (ultraviolet-UV). Selain sinaran UV, sinaran matahari yang merosakkan mata termasuklah cahaya putih terang (boleh dilihat) dan cahaya biru (yang tidak boleh dilihat) pada spektrum yang kelihatan di sebelah hujung ungu.

Sinaran matahari dalam jangka masa panjang juga boleh menyebabkan masalah mata yang serius.

Bagaimana cahaya matahari merosakkan mata?

Sinaran UV adalah sebahagian dari sinaran semula jadi yang terdapat dalam spektrum cahaya yang tidak kelihatan. Selain matahari sebagai sumber semula jadi UV, sinar UV boleh terhasil dari pelbagai sumber tiruan termasuk alat kimpalan, laser, alat memperangkan kulit dan lampu tertentu.

Cahaya biru dari spektrum yang boleh dilihat. Sinaran UV boleh dibahagikan kepada 3 kategori iaitu UVA, UVB dan UVC. Sinaran UV membawa lebih banyak tenaga berbanding sinaran cahaya yang boleh dilihat. Oleh itu mata berisiko mengalami kerosakan yang serius kerana menyerap sinaran UV berbanding dengan cahaya lain.

Kerosakan yang disebabkan oleh pendedahan yang berpanjangan kepada sinaran UV tidak boleh dipulihkan dan boleh merosakkan mata. Oleh itu kita perlu melindungi mata kita dari terdedah kepada sinaran UV dalam tempoh yang panjang. Selain merosakkan mata, sinaran UV juga boleh merosakan kulit dan badan.

Sinaran UV boleh diserap oleh pelbagai struktur mata. Lapisan luar mata termasuk kornea dan konjunktiva boleh menyerap sinaran UVB. Kanta mata menyerap kebanyakan sinaran UVA. Retina (lapisan sensitif cahaya) menyerap cahaya yang boleh dilihat. Sinaran UVC diserap oleh lapisan ozon dan tidak sampai ke bumi.

Kerosakan mata akibat sinaran UV adalah :

  1. Katarak (kekaburan kanta semulajadi mata)
  2. Degenerasi makular berkaitan umur
  3. Pterigium (ketumbuhan konjunktiva)
  4. Kerosakan retina akibat merenung matahari

Kerosakan badan akibat sinaran UV adalah:

  1. Kulit terbakar
  2. Penuaan kulit pra-matang
  3. Kanser kulit
  4. Sistem keimunan berkurangan

Pemilihan kaca mata hitam

Untuk perlindungan mata, pakai cermin mata hitam yang menghalang hampir 100 peratus atau 99 peratus cahaya UV. Kanta plastik dan kaca menyerap cahaya UV dan ini boleh diperbaiki dengan bahan kanta yang telah dirawat dengan bahan kimia tertentu semasa proses pembuatan atau menggunakan kanta dengan penyalut khas.

Panduan memilih kata mata hitam

  1. Pilih kanta yang gelap untuk keselesaan mata.
  2. Elakkan kanta yang terlalu gelap kerana boleh menghadkan penglihatan.
  3. Jika terdedah kepada cahaya matahari dalam tempoh yang panjang terutama di laut atau semasa musim sejuk apabila terdapat salji, gunakan kaca mata hitam yang menghalang cahaya biru dari spektrum yang boleh dilihat.
  4. Pilih kaca mata sederhana hitam ke hitam gelap dengan sedikit berwarna (sama ada warna kelabu, coklat atau hijau).
  5. Gunakan kanta plastik kalis calar dan bukannya kanta kaca. Kanta plastik tahan lasak dan tidak mudah pecah.
  6. Terdapat kaca mata hitam dengan polarisasi yang mengandungi penapis polarisasi. Ia mengurangkan silau dan boleh membias cahaya dari permukaan berkilat seperti air.

Jenis kaca mata hitam

  1. Kaca mata hitam dengan kanta plastik biasa – mengurangkan kecerahan secara sama rata.
  2. Kaca mata hitam dengan kanta polarisasi –  mengurangkan silau kerana membias cahaya.
  3. Kaca mata hitam dengan kanta fotokromik – berubah warna mengikut perubahan jumlah cahaya dengan menjadi lebih gelap apabila cahaya terang dan lebih cerah apabila cahaya berkurang.
  4. Kaca mata dengan kanta cermin – memantul semua atau separuh cahaya.

Warna kaca mata hitam

  1. Kanta berwarna sedikit (tinted) kelabu atau hijau gelap – sesuai untuk kedua-dua penggunaan asas dan pelbagai guna.
  2. Kanta berwarna sedikit jingga – pemandangan menjadi lebih cerah dalam cuaca mendung, berjerebu atau berkabus kerana menghalang cahaya biru.
  3. Kanta berwarna sedikit emas dan kuning – menambah kontras.
  4. Kanta berwarna sedikit coklat – meningkatkan persepsi kedalaman.
  5. Kanta berwarna sedikit merah jambu – memberi kontras dan resolusi imej yang baik dalam cahaya berkurang.

Kaca mata hitam sebagai pelindung sinaran UV

Pemilihan kaca mata hitam sebagai pelindung sinaran UV bukanlah berdasarkan harga, warna atau kegelapan kanta. Teliti label dan ketahui jenis dan jumlah perlindungan yang ditawarkan oleh pengeluar.

Kaca mata hitam dari perlindungan UV terbahagi kepada 3 kategori:

  1. Kanta mata hitam kosmetik – kanta berwarna sedikit yang nipis digunakan dalam cahaya matahari bertahap rendah. Ia menyekat sehingga 60% cahaya yang kelihatan dan sinaran UVA, dan 88% hingga 96% sinaran UVB.
  2. Kanta mata hitam serbaguna – menghalang 60% hingga 93% cahaya yang kelihatan dan sinaran UVA, dan 94% hingga 99% sinaran UVB. Ia sesuai untuk memandu dan amat disyorkan dalam cahaya matahari yang terang.
  3. Kaca mata hitam khas – menyekat sehingga 96.5% cahaya yang kelihatan dan sehingga 98% sinaran UVA. Ia menghalang sekurang-kurangnya 99% sinaran UVB, dan sesuai jika terdedah kepada cahaya matahari dalam tempoh yang panjang.

Alat pelindung lain

Selain memakai kaca mata hitam terdapat pilihan lain bagi melindungi mata dari sinaran UV, cahaya yang terang dan biru,

  • Pakai topi lebar apabila berada di luar dan terdedah kepada cahaya matahari yang terang untuk melindungi mata dengan mengurangkan jumlah panahan cahaya ke mata.
  • Elakkan terdedah kepada cahaya yang terang pada waktu siang antara jam 11 pagi hingga 4 petang. Dalam tempoh ini , sinaran UV amat kuat . Nasihat ini perlu ditekankan untuk orang yang melakukan aktiviti luar. Aktiviti seperti berenang, bermain pasir dan air di tepi pantai memantulkan sinaran UV.
  • Rancang aktiviti luar sama ada sebelum 11 pagi atau selepas pukul 4 petang.
  • Apabila menghabiskan masa di bawah sinaran matahari, cari kawasan yang teduh atau gunakan payung.

Kesimpulan

Matahari boleh menjadi rakan dan juga lawan.

Ingat!

  • Elakkan terdedah kepada cahaya matahari yang terang secara langsung dalam tempoh yang panjang.
  • Jika anda perlu berada di bawah sinaran matahari, gunakan kaca mata hitam dengan pelindung UV.
  • Ketahui jenis dan tahap perlindungan UV sebelum membeli kaca mata hitam.
  • Walaupun cahaya matahari adalah sumber tenaga yang membantu melakukan aktiviti harian kita, pendedahan kepada sinaran matahari yang terang dalam tempoh yang panjang boleh menyebabkan kerosakan mata.
  • Pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati. Sebelum kesan dan tanda kerosakan pada mata anda berlaku, amalkan perlindungan yang sepatutnya apabila terdedah kepada cahaya matahari.
  • Matahari boleh merosakkan mata anda secara kekal dalam tempoh yang singkat.
Sumber:myhealth
X