Setiap sumbangan yang anda hulurkan mampu meringankan beban para pesakit kronik

Share:

Korek hidung antara tabiat yang membuatkan ‘peminat tegarnya’ boleh menelan air liur berkali-kali kerana amat mengkhayalkan. Bagaimanapun, tabiat ini berbahaya sebagai rutin kegemaran memandangkan ia boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan kepada kesihatan, selain menyebarkan penyakit pada individu lain menerusi udara.

Kajian saintifik menerusi penyelidikan baharu diterbitkan Jurnal Pernafasan Eropah, menjelaskan tabiat mengorek hidung boleh menyebarkan bakteria berbahaya yang menyebabkan radang paru-paru. Tabiat buruk itu boleh menyebabkan pneumonia, sejenis masalah pembengkakan tisu dalam satu atau kedua bahagian paru-paru.

Kajian dilakukan penyelidik dari Sekolah Perubatan Tropika Liverpool dan menyoroti bagaimana jangkitan bakteria bukan hanya disebarkan sebagai virus udara, selain betapa pentingnya menjaga kebersihan tangan. Menerusi kajian itu, sebahagian daripada penyelidikan, 40 sukarelawan dewasa dibahagikan kepada empat kumpulan dan didedahkan kepada beberapa jenis bakteria.

Dua kumpulan terdedah kepada bakteria di dalam air manakala dua lagi terdedah kepada bakteria kering. Hasil menunjukkan peserta kajian terdedah dan dijangkiti bakteria di udara disebabkan aktiviti mengorek hidung. Penyelidik juga mencatatkan risiko seseorang boleh dijangkiti dengan menyedut udara atau menggosok hidung.

Penyelidik utama yang juga rakan penyelidikan klinikal di Sekolah Perubatan Tropika Liverpool dan Hospital Royal Liverpool, Dr Victoria Connor, berkata jangkitan pneumokokus adalah punca utama kematian di seluruh dunia dan dianggarkan punca kematian berjumlah 1.3 juta kanak-kanak di bawah lima tahun setiap tahun. “Mengorek hidung boleh mengancam nyawa, iaitu apabila tabiat ini menyebabkan penyebaran bakteria,” katanya.

Beliau berkata, individu dewasa yang menghidap penyakit kronik juga berisiko dijangkiti virus pneumokokus dengan salah satu boleh berlaku disebabkan tabiat itu. Hasil kajian merumuskan kebersihan tangan baik dan pembersihan mainan kanak-kanak akan mengurangkan risiko jangkitan seperti penyebaran radang paru-paru daripada berlaku. Katanya, gejala radang paru-paru mungkin berbeza bergantung pada usia seseorang atau masalah perubatan lain mereka hadapi.

Gejala dialami disebabkan serangan bakteria ini:
* Batuk dengan kahak menjadi hijau , kuning atau berdarah.
* Demam
* Nafas pendek dan lebih cepat bernafas
* Sakit dada dan lebih teruk apabila anda menarik nafas panjang
* Menggigil dan berpeluh
* Hilang selera makan
* Kekeliruan dan ketidakstabilan terutama jika anda lebih 65 tahun
* Ngilu dan sakit otot

Sumber:https://www.bharian.com.my/
X