Setiap sumbangan yang anda hulurkan mampu meringankan beban para pesakit kronik

Share:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menafikan vaksin Bacillus Calmette-Guerin (BCG) yang disuntik kepada kanak-kanak ketika lahir atau berusia tujuh tahun, tidak memberi sebarang perlindungan daripada jangkitan tibi atau batuk kering apabila mereka dewasa.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata jika suntikan itu dikatakan gagal memberi sebarang perlindungan kepada kanak-kanak, dakwaan itu tidak benar dan perlu diperbetulkan.

“Kajian saintifik dan ilmiah menunjuk ada perlindungan tetapi tidak pada tahap kita mahukan dan ia dapat diatasi menerusi penyelidikan vaksin baharu,” katanya kepada media sebelum menghadiri Persidangan Pergigian Dunia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Seminar dua hari anjuran bersama Persatuan Pergigian Dunia dan Persatuan Pengamal Pergigian Swasta (MPDPA) itu bermula hari ini.

Dr Dzulkefly berkata demikian mengulas laporan sebuah media berbahasa Inggeris bahawa suntikan BCG di kiri lengan kanak-kanak tidak dapat menghalang daripada dijangkiti penyakit batuk kering apabila dewasa.

Memetik kajian pakar paru-paru, beliau menjelaskan di seluruh dunia, 75 peratus kematian akibat tibi membabitkan orang dewasa muda yang melangkah keluar dari zaman kanak-kanak dan mula kehilangan kekuatan suntikan BCG, menjadikan mereka mudah terdedah kepada serangan kuman tibi pada paru-paru.

Mengenai keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam semalam menyifatkan kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, sebagai kes jenayah, beliau berkata semua pihak perlu menerima keputusan itu secara terbuka.

Katanya, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang perlu dihormati dan tiada siapa yang boleh terlepas daripada hukuman jika melakukan jenayah.

Mengenai mekanisme melaksanakan kawalan harga ke atas ubat-ubatan dalam pasaran pula, beliau berkata ia pada peringkat akhir kajian.

Katanya, ketika ini ia pada peringkat libat urus bersama farmasi, pemain industri ubat dan pihak berkepentingan lain.

“Ia akan dibentangkan di Kabinet selepas mekanisme mengenainya dimuktamadkan kerana kita mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.

Sumber:https://www.bharian.com.my/
X